Saturday, 4 June 2016

Cerpen: Cahaya Kedua


Cahaya Kedua
I
“Esok Ateng datang lagi ye mak. Kalau tak esok mungkin minggu depan.”
Mak Munah hanya tersenyum sambil mengangguk kepalanya. Matanya mengikut gerak geri anak tunggalnya itu sehingga gadis manis itu masuk ke dalam keretanya. Di tubir matanya terlihat air jernih yang bergelinangan setelah melihat kereta anaknya itu meluncur laju meninggalkan Rumah Kebajikan Kerian Permai. Dia mulai rindu akan anak tunggalnya. Jika berkesempatan, di usia yang kian senja biarlah dia hidup bersama anak gadisnya itu, menghabiskan sisa baki usia bersama satu-satunya darah dagingnya yang tinggal. Akan tetapi dia sedar hal itu bakal menyusahkan anaknya di kemudian hari.
Ateng hanya bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang. Waktu bekerja Ateng tidak menentu. Kadang-kadang dia terpaksa bekerja sehingga 12 jam sehari. Mak Munah mengerti jika dia tinggal bersama Ateng sudah tentu hal ini akan mengganggu masa Ateng kerana terpaksa memikirkan diri Mak Munah dirumahnya. Oleh itu Mak Munah mengorbankan keinginannya untuk tinggal bersama anaknya. Biarlah hatinya menderita tatkala merindui wajah anaknya asalkan anaknya itu dapat bekerja dengan tenang.
Tambahan pula, boleh dikatakan setiap hari Ateng akan menziarahinya di rumah orang-orang tua itu. Ateng juga pernah membawa Mak Munah bersiar-siar dan pulang ke rumahnya untuk beberapa hari. Itupun kalau anaknya itu cuti. Jika tidak berkelapangan, pasti anak gadis itu akan bertanyakan khabar Mak Munah melalui panggilan telefon. Mak Munah sedar, Ateng menghantarnya ke rumah kebajikan bukanlah kerana tidak sanggup menjaganya, akan tetapi risau akan diri Mak Munah jika dia meninggalkan ibunya itu keseorangan di rumah. Tambahan pula, kesihatan Mak Munah tidak begitu baik.
“Amboi hang, hari-hari anak mai pun dok sedih lagi ka? Bukannya budak tu tak mai dah. Esok lusa dok jengok hang jugak kan?” kata Mak Lela yang merupakan salah seorang penghuni Rumah Kebajikan Kerian Permai.
Mak Munah yang tersentak dengan kehadiran Mak Lela yang tiba-tiba keluar dari dalam rumah itu. Lalu dengan pintas sekali dia mengesat air matanya daripada menitis ke pipi.
“Tak lah Lela. Aku kesian kat anak aku tu. Kerja tak menentu. Penat. Tapi masih sanggup nak melawat aku” balas Mak Munah yang fikirannya masih kepada anak gadisnya itu.
“Biasalah tu. Nama pun anak. Dah jadi tanggungjawab dia kan nak kena tengok hang hari-hari” sambung Mak Lela lagi sambil tangannya membelek-belek sekeping sampul surat. “Hang pun toksah la mengada-ngada suruh dia mai hari-hari. Sekali sekala tu bagi la dia cuti sama.”
Mak Munah hanya tersenyum mendengar kata-kata Mak Lela. Selama dia tinggal di sini, Mak Lela yang selalu menjadi teman setianya. Mak Lela merupakan penghuni paling lama yang menetap di situ. Kira-kira hampir 8 tahun. Bagi Mak Munah, Mak Lela senasib dengannya. Mak Lela terpaksa tinggal di situ kerana anak-anaknya sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa menjaganya. Cuma anak-anak Mak Lela tidak seperti anaknya Ateng yang hanya berkelulusan SPM.
Anak-anak Mak Lela masing-masing bekerja sebagai jurutera, doktor, arkitek dan juruterbang. Mak Lela sering membangga-banggakan anaknya kepada kawan-kawannya. Dia menceritakan kemewahan hidup anak-anaknya yang mempunyai pekerjaan profesional. Ada ketikanya Mak Munah terasa hati dengan Mak Lela kerana rakannya itu sering membandingkan anak-anaknya dengan Ateng. Sedang leka melayan fikirannya tiba-tiba mata Mak Munah tertancap kepada sekeping sampul surat yang dipegang oleh Mak Lela. “Surat daripada siapa tu Lela?”
“Oh ni. Bukan surat. Duit” Balas Mak Lela.
“Duit? Oh lupa pula. Duit daripada anak-anak kau.”
“Hang tu memang. Tiap-tiap bulan dok nampak aku pegang sampul pun dok tanya lagi apa dia. Tau la dah nyanyok” kata Mak Lela sambil menjeling Mak Munah.
“Nak buat macam mana. Kita dah tua. Mudah lupa. Nanti anak-anak kita dah tua macam kita mesti depa pun suka lupa jugak”
Tiba-tiba riak wajah Mak Lela berubah. Senyuman yang meleret tatkala mengira jumlah wang yang dikirim anaknya itu tiba-tiba hilang. Mak Munah perasan akan perubahan riak wajah rakannya itu. Dia tertanya-tanya, adakah dia tersalah cakap di hadapan wanita lewat 50-an itu. Mak Lela kemudian meletakkan kembali wang itu ke dalam sampul surat lalu meminta diri untuk masuk ke dalam. Mak Munah hairan. Hairan dengan sikap dan tingkah laku Mak Lela yang tiba-tiba berubah apabila anak-anak Mak Lela menjadi topik perbualan mereka.
II
Keesokan harinya seperti yang dijanjikan Ateng, dia datang melawat ibunya. Kebetulan dia mendapat pelepasan untuk kerja separuh hari, jadi dia mengambil kesempatan untuk meluangkan lebih lama masa bersama ibunya. Sudah menjadi rutin kepada Ateng apabila tidak pernah lupa untuk membawa buah tangan kepada ibunya dan penghuni-penghuni lain. Walaupun kadang-kadang dia terpaksa ikat perut semata-mata ingin melihat penghuni-penghuni lain tidak berasa tersisih apabila melihat dia selalu melawat ibunya. Dia sedar tidak semua penghuni itu bernasib baik untuk menerima kunjungan daripada anak masing-masing.
Sejurus sahaja sampai di perkarangan Rumah Kebajikan Kerian Permai itu, kelihatan ibunya sudah tersenyum dari jauh menunggu kehadirannya. Ibunya sedang minum petang bersama beberapa penghuni rumah kebajikan itu. Ateng amat mengenali kesemua penghuni di situ kerana seringkali berbual dengan mereka apabila dia melawat Mak Munah. Kelihatan Mak Lela dan Mak Jaroh turut ada bersama ibunya. Ateng berasa senang hati apabila melihat ibunya mempunyai kawan rapat dan tidak dipinggirkan oleh penghuni lain di sana.
Walaupun mulut Mak Lela dan Mak Jaroh agak celupar terhadap dirinya tetapi dia tidak pernah mengambil hati dengan kata-kata mereka asalkan ibunya selesa berkawan dengan mereka. Mak Lela dan Mak Jaroh selalu mempertikaikan kemampuannya untuk membeli buah tangan kepada mereka. Tambahan pula Ateng hanya seorang pekerja kilang tetapi mampu untuk membelikan keperluan ibunya dan menghulurkan sejumlah wang buat perbelanjaan Mak Munah.
“Assalamualaikum mak. Mak apa khabar?” sapa Ateng setelah kakinya melangkah menghampiri ruang makan tempat ibunya duduk.
“Walaikumsalam Ateng. Awal kamu datang hari ni. Cuti ke?” balas Mak Munah sambil menyambut huluran tangan Ateng yang ingin bersalam dengannya.
“Tak de lah mak. Ateng kerja separuh hari. Rasa macam malas pulak nak buat OT (overtime) hari ni” balas Ateng.
Tiba-tiba Mak Jaroh menyampuk perbualan di antara dua beranak itu. “Apa punya anak dara. Pemalaih. Esok kalau dah menikah, lagi banyak tanggungjawab hang.”
Ateng terkejut apabila mendengar kata-kata Mak Jaroh yang tiba-tiba sahaja mencelah. Dia tersenyum kelat. Lalu Mak Lela pula berbalas kata dengan Mak Jaroh.
“Alaa Jaroh. Biasa la tu anak dara la ni. Tu baru kerja kilang. Belum kerja hebat-hebat lagi. Tengok la anak aku si Nina tu. Dia tu doktor tau. Kerja kat hospital kerajaan lagi. Kerja lagi tak menentu. Kadang-kadang sampai tak cuti langsung. Siang orang kerja, dia kerja. Malam orang tidoq, dia kerja lagi. Tapi takpa la, gaji tinggi. Kerja banyak pon tak terasa” kata Mak Lela yang sudah mula menunjukkan riak di hatinya.
“Aku paham. Jangan kira anak hang ja. Tu anak aku. Pilot. Sebulan berapa kali pi terbang luaq negara. Luaq negara tu bole dok kata tempat kencing berak dia dah. Tu yang sampai jumpa jodoh pon dengan orang luaq negara. Perempuan Malaysia ni apa ada sangat. Pemalaih. Salah satu contohnya macam ni la. Baru kerja sikit dah merungut.” Sambung Mak Jaroh.
Dua beranak itu hanya mampu terkedu. Ateng hanya mampu tunduk dan tersenyum kelat manakala Mak Munah sudah berubah riak wajahnya apabila mendengar kata-kata rakan-rakannya. Dia terkesima. Dia tidak tahu apa perasaannya kini apabila anak gadis kesayangannya dipandang rendah oleh mereka. Sedih. Kecewa. Sentap. Marah. Dia sendiri tak pasti kerana Ateng selalu berpesan kepadanya supaya jangan menyimpan perasaan negatif kepada orang lain yang menilai mereka. Setiap manusia mempunyai hak untuk bersuara.
Setelah hampir tiga jam meluangkan masa bersama ibunya di rumah kebajikan itu, Ateng mula meminta diri untuk pulang ke rumah. Ateng gembira apabila dapat menghabiskan masa senggangnya untuk melawat ke rumah orang-orang tua. Bagi Ateng, mereka bagaikan satu keluarga. Oleh sebab itu Ateng tidak kisah untuk melaburkan duit gajinya kepada warga tua di situ kerana mereka seakan ibu bapa Ateng. Mereka kasih dan sayang antara satu sama lain.

III
Setelah selesai solat Isyak berjemaah, para penghuni Rumah Kebajikan Kerian Permai akan berkumpul meluangkan masa bersama-sama sambil menonton televisyen, bermain permainan dalam dan berbual kosong. Dalam kesibukan orang lain, tiba-tiba Mak Munah perasan akan ketiadaan Mak Lela dan Mak Jaroh. Dia mencari di mana perginya wanita berdua itu. Mustahil mereka sudah tidur pada waktu awal begini. Selalunya mereka berdualah yang sering menjadi orang terakhir tidur kerana gemar menonton televisyen sehingga larut malam.
Mak Munah menjengah ke dalam bilik kedua-dua rakannya itu. Kelibat mereka tidak Mak Munah temui. Lalu Mak Munah ke dapur untuk terus mencari. Mak Munah terserempak dengan Puan Noorly yang merupakan salah seorang penjaga di rumah kebajikan itu. Mak Munah bertanyakan kepada wanita muda itu ke mana perginya Mak Lela dan Mak Jaroh. Puan Noorly berkata bahawa Mak Lela dan Mak Jaroh sedang mengambil angin di beranda luar rumah. Lalu Mak Munah berjalan menuju ke luar.
Setibanya Mak Munah di muka pintu, beliau terlihat kedua-dua rakannya sedang berbual di kerusi malas yang terletak pada beranda rumah itu. Lalu dia menghampiri mereka dan secara tidak langsung terdengar perbualan antara mereka. Kini dia berdiri betul-betul di belakang mereka. Justeru itu, pendengaran Mak Munah semakin jelas tentang perbualan Mak Lela dan Mak Jaroh. Perbualan kedua-duanya diselangi esakan tangis masing-masing. Mak Lela mengatakan kepada Mak Jaroh bahawa dia sangat sunyi dan terlalu merindui anaknya. Kadang-kadang dia terpaksa ego dengan dirinya untuk memperlihatkan kepada orang ramai bahawa dia sangat bahagia. Dia sedar bahawa duit kiriman anak-anaknya selama ini tidak mendatangkan apa makna baginya jika setiap hari asyik merindukan darah dagingnya. Walaupun dia sedar bahawa anaknya tidak akan datang menjenguknya, tetapi Mak Lela masih berharap bahawa setiap kiriman wang yang dikirim oleh anaknya, terselit sepucuk surat hasil titipan anaknya.
Dia merindukan perkahabaran anaknya, biarlah anaknya tidak mengambil tahu akan sakit demamnya, asalkan anaknya memberitahu kehidupan mereka di sana. Pernah juga dia cuba untuk kirimkan surat kepada anaknya tetapi malangnya surat itu tidak berbalas. Mak Lela juga menceritakan bahawa dia juga cuba untuk menghubungi anaknya menerusi telefon, tetapi tidak pernah dijawab. Kadang-kadang Mak Lela sengaja menelefon anaknya di hadapan rakan-rakannya supaya dapat menunjukkan kemesraan antara dia dan anaknya. Walau bagaimanapun, perasaannya hampa apabila anaknya tidak menjawab. Bagi menjaga air mukanya, dia sanggup berpura-pura seakan sedang berbual dengan anaknya menerusi telefon walaupun pada ketika itu sebenarnya tiada siapa yang bercakap di talian.
 Selama ini dia sering memuji anak-anaknya di hadapan rakan-rakannya walhal dari sudut hatinya, dia sangat malu terhadap sikap anaknya. Di usia yang semakin tua, dia sangat perlukan kasih sayang daripada anak-anak sebagaimana anak-anaknya memerlukan dia sewaktu mereka kecil. Dia memuji anak-anaknya kerana cemburu terhadap rakan-rakannya yang masih mendapat perhatian anak-anak mereka. Tambahan pula Mak Munah. Mak Lela akui bahawa dia sangat iri hati dengan layanan yang diberikan kepada Mak Munah oleh anaknya, Ateng. Ateng masih mempunyai masa untuk melawat ibunya walaupun sesibuk manapun beliau berbanding anak Mak Lela sendiri. Gaji Ateng pula tidak sebanyak gaji anaknya tetapi cara Ateng berbelanja kepada ibunya sudah cukup membuatkan ibunya gembira.
Mak Lela masih ingat lagi, dahulu anak sulungnya, Ikbal sering merungut kerana gaji dia sebagai juruterbang masih tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan mereka sekeluarga. Walhal pada masa itu Ikbal masih belum berumah tangga dan hanya Mak Lela sebagai tanggungannya. Mak Lela pula bukanlah seorang yang pentingkan kemewahan dalam berpakaian mahupun harta benda. Dia menjadi hairan dengan perbezaan antara Ateng dan Ikbal. Bila difikirkan semula, barulah dia sedar bahawa inilah yang dinamakan keberkatan. Keberkatan insan yang bernama ibu. Sepanjang Ikbal bekerja, anaknya itu tidak sekali pun pernah bersalaman dengannya untuk meminta restu atau izin ke tempat kerjanya, dia juga tidak pernah melihat Ikbal solat setelah jejaka itu menjengah usia dewasa. Perlakuan Ikbal jauh berbeza dengan anak Mak Munah, Ateng.
Ateng merupakan seorang anak gadis yang tinggi budi bahasa, walaupun dia bukanlah golongan berpendidikan tetapi gadis itu masih tahu baik buruk yang dilakukan. Setiap kali Ateng melawat ibunya, gadis itu tidak pernah lupa untuk bersalaman dan meminta izin untuk pulang kepada Mak Munah. Ateng juga seorang gadis yang menjaga auratnya dan tidak lupa untuk meminta ibunya sentiasa mendoakan kesejahteraannya setiap hari. Oleh itu, tidak hairanlah jika gadis itu sentiasa disayangi Mak Munah dan masih mampu untuk menampung kehidupan ibunya walaupun bekerja biasa kerana Allah SWT sentiasa merahmati anak yang berbakti kepada ibu bapanya.
Sedang asyik Mak Munah mendengar luahan hati Mak Lela, tiba-tiba Mak Jaroh tersedar akan kehadiran Mak Munah. Mak Munah hanya melemparkan senyuman kepada Mak Jaroh sambil hatinya sedang menahan sebak berikutan mendengar kisah rakannya. Dia mempersilakan Mak Munah duduk di kerusi bersebelahan dengan Mak Lela. Mak Munah hanya mengangguk sebelum melabuhkan punggungnya di kerusi. Mak Lela kelihatan menundukkan kepalanya apabila berhadapan dengan Mak Munah. Dia tidak mahu wanita tua itu tahu akan rasa hatinya kini. Dia berharap bahawa Mak Munah tidak mendengar butir bicaranya sebentar tadi kerana masih malu apabila rakannya tahu akan kebenaran kehidupannya yang sebenar.
Namun, secara tiba-tiba Mak Munah mengenggam tangan Mak Lela seakan ingin memberitahu kepada rakannya supaya bersabar. Dia juga ingin memberitahu bahawa dia telah mendengar segala apa yang telah dibicarakan oleh Mak Lela. Tanpa boleh menahan sebak di hati, Mak Lela terus memeluk Mak Munah. Mak Munah membiarkan Mak Lela menangis semahunya di bahunya sambil diperhatikan oleh Mak Jaroh yang pada masa itu turut tidak dapat menahan sebak. Sambil menangis teresak-esak, Mak Lela berkata,
 “Aku minta maaf Munah, selama ini apa yang aku ceritakan tentang anak aku semua tu tak benar. Aku malu. Aku sunyi. Aku rindu anak-anak aku. Kenapa mereka lupakan aku. Apa salah aku.”
“Aku tahu Lela, aku dah dengar semuanya tadi. Engkau tak salah. Anak kau pun tak salah. Fitrah manusia, tak lari daripada buat kesalahan. Tak lari daripada sering terleka. Satu hari nanti anak kau mesti datang.” Pujuk Mak Munah.
Lalu Mak Lela melepaskan pelukan dan berkata, “tidak, tidak Munah. Aku rasa dalam hal ni aku yang bersalah. Semuanya berpunca daripada aku. Kalau aku tak abaikan mereka sejak kecil mungkin benda macam ni takkan jadi. Aku ibu yang tak da amanah Munah, aku kejam”.
“Astaghfirullahaladzim, apa yang kau merepek ni Lela. Semua ni takdir Allah. Kita sebagai hamba perlu redha, bukan menyesal dengan semua ni. Setiap yang terjadi mesti ada hikmah. Kalau kau menyesal, umpama kau menidakkan aturan Allah SWT. Mengucap Lela.” Balas Mak Munah sambil mengurut dadanya kerana terkesima dengan kata-kata yang keluar dari mulut Mak Lela.
Mak Lela menyambung, “Aku tahu Munah, tapi sejak mereka kecil aku sering abaikan mereka. Aku langsung tidak mengambil tahu perihal peribadi mereka. Mana tidaknya, setelah aku habis pantang melahirkan mereka, aku terus menghantar mereka ke rumah penjagaan kanak-kanak. Rutin ini berlanjutan sehingga mereka memasuki darjah satu kemudian aku memasukkan mereka ke sekolah berasrama. Apabila di rumah aku melepaskan tanggungjawab menjaga mereka kepada bibik yang ada.”
Mak Munah hanya memandang sepi wajah anaknya. Kini baru dia mengerti bahawa apa yang dikesali oleh rakannya itu. Rakannya beranggapan bahawa segala yang terjadi ini adalah kifarah kepada kesilapan yang dilakukannya dahulu. Mak Lela mengaku bahawa dia sering mengabaikan tanggungjawab menjaga anak-anaknya. Walaupun segala keperluan anaknya dia turuti tetapi Mak Lela tidak mempedulikan sebarang kemahuan anak-anaknya. Mak Lela terlalu mementingkan pelajaran anaknya sehingga lupa untuk mengetahui segala masalah yang dihadapi oleh anaknya. Impian dia ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran sudah tercapai. Tetapi, itu adalah impiannya yakni bukan impian anak-anaknya. Segala pekerjaan yang dimiliki anak-anaknya merupakan impian Mak Lela semata-mata.
Kini, Mak Lela sedar bahawa kerana impian itu juga telah menentukan di mana dia berada sekarang. Oleh kerana impian dia, anak-anaknya kini telah sibuk mengejar duniawi dan mengabaikannya. Impian itu juga yang telah mendidik anak-anaknya untuk mencintai pekerjaan mereka tetapi bukan ibu mereka. Mungkin dahulu Mak Lela menghantar mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak dan kini mereka juga telah melakukan perbuatan yang sama. Mak Lela seakan telah meragut sendiri kasih sayang antara ibu dan anak. Oleh itu, apabila anak-anaknya menjengah dewasa mereka tidak mengenali kasih sayang, cinta dan pengorbanan seorang ibu.
Mungkin ini adalah bayaran kepada perbuatan Mak Lela dahulu. Jika dia mengatakan hal ini tidak wajar dilakukan oleh anak dengan menghantar ibu mereka ke rumah kebajikan, jadi wajarkah dahulu dia sendiri yang menghantar mereka ke pusat asuhan sewaktu mereka masih memerlukan kasih sayang. Jika Mak Lela mempertikaikan tanggungjawab anak untuk menjaga ibu bapa apabila mereka tua, jadi di mana pula nilai amanah yang dianugerahkan kepada Mak Lela untuk menjaga anak-anaknya semasa kecil.
Mak Lela akhirnya akui dia perlu menerima hakikat segala takdir yang ditentukan kepadanya walaupun kenyataan itu sangat perit. Mak Lela berharap kehidupannya di sini akan menjadi semakin baik tanpa memiliki sifat iri hati kepada rakan-rakannya. Dia sebenarnya terlepas pandang kepada suatu hakikat. Hari demi hari dia menantikan kedatangan orang tersayang sehinggakan dia terlupa bahawa dia masih mempunyai orang yang sayang akan dirinya di sekeliling. Mak Lela akur jika perlu menghabiskan sisa baki kehidupannya di rumah kebajikan tersebut tanpa ditemani oleh anak-anaknya disisi. Walau bagaimanapun, di setiap doanya dia berharap segala kesilapannya diampuni Allah dan doanya untuk bertemu anaknya termakbul.
IV
20 tahun kemudian
Seperti kebiasaan, setiap kali Syawal bakal tiba semua penghuni Rumah Kebajikan Kerian Permai akan mengadakan gotong royong membersihkan halaman rumah kebajikan tersebut. Tidak lupa juga sesetengah penghuni yang membuat persediaan untuk menyediakan juadah pada hari raya. Kelihatan Mak Jaroh dan Mak Munah sedang asyik memukul kuih bahulu untuk disajikan pada kesemua penghuni rumah itu. Pada ketika itu juga, Mak Lela dan Puan Noorly sedang memasang langsir di setiap tingkap rumah. Walaupun usia penghuni rumah kebajikan itu kelihatan sangat tua tetapi setiap tahun mereka mempunyai semangat baru untuk  menyambut perayaan Aidil Fitri. Kudrat yang dimiliki masing-masing sudah cukup membuktikan bahawa mereka masih gembira beraya bersama.
 Ketika Mak Lela ingin memasang langsir di tingkap menghadap halaman rumah itu, dia melihat susuk tubuh seorang pemuda dalam lingkungan 22 tahun sedang berdiri di tengah halaman rumah. Lelaki itu seperti terpinga-pinga. Puan Noorly yang pada ketika itu juga turut perasan akan kehadiran lelaki itu lalu terus menuju ke luar rumah mendapatkan jejaka itu. Pada penglihatan Mak Lela, dia seakan mengenali raut wajah pemuda ini. Dia cuba untuk mengingatinya tetapi memandangkan usinya menjangkau lewat 70-an telah membuatkan dia sukar untuk mengenal pasti dengan lebih jelas. Kelihatan Puan Noorly sedang berbual dengan pemuda itu. Mak Lela cuba mengendahkan tentang perihal mereka berdua dengan meneruskan kerjanya.
Tiba-tiba Puan Noorly datang kepadanya dan berkata bahawa pemuda tadi ingin berjumpa dengan Mak Lela. Mak Lela menjadi tidak keruan. Dalam hatinya tertanya-tanya siapa gerangan pemuda tersebut. Tanpa berlengah, Mak Lela pun menuju ke luar rumah dan menghampiri pemuda itu yang sedang duduk di kerusi luar rumah. Pemuda tersebut sedar akan kehadiran Mak Lela lalu memberikan salam kepada Mak Lela. Mak Lela menjawab dengan mesra tetapi difikirannya masih hendak tahu apa tujuan pemuda itu ingin bertemu dengannya.
Kemudian pemuda itu meneruskan pertanyaannya. “Mak cik ni Puan Maslela Binti Abu Kasim ke ?
Mak Lela terpanar dengan pertanyaan anak muda itu. Dari mana pemuda ini tahu akan namanya. “Betul itu nama Mak Cik. Tapi anak ni siapa ye. Macam mana anak boleh tahu nama makcik ? Tanya Mak Lela sambil melemparkan senyuman.
Setelah mendengar jawapan daripada Mak Lela, lelaki itu kelihatan sangat gembira. Dalam kegembiraan di wajahnya, Mak Lela terlihat ada linangan air jernih di tubir mata pemuda itu. Mak Lela semakin hairan. Tidak sempat Mak Lela bertanyakan lagi, pemuda tersebut tiba-tiba mengeluarkan dua keping foto dari beg galasnya lalu menghulurkannya kepada Mak Lela. Mak Lela menyambutnya dalam kehairan. Mak Lela melihat foto-foto yang diberikan. Sungguh mengejutkan Mak Lela apabila foto pertama itu merupakan foto Mak Lela sendiri dengan anak-anaknya Ikbal, Nina, Hafiz dan Nizam sewaktu mereka masih kanak-kanak.
Tiba-tiba Mak Lela rindukan saat dia bersama anak-anaknya. Mak Lela hairan bagaimana pemuda ini dapat menyimpan foto ini. Kemudian Mak Lela beralih kepada foto seterusnya. Foto kedua menunjukkan gambar anak sulungnya, Ikbal bersama seorang kanak-kanak. Mak Lela memerhati foto kedua itu sebetulnya. Kelihatan kanak-kanak itu mirip anak muda di hadapannya. Namun begitu, Mak Lela masih tidak mengerti apa yang ingin disampaikan oleh lelaki ini. Melihat Mak Lela yang seakan terpinga-pinga, pemuda tersebut kemudian mengeluarkan sepucuk surat daripada begnya lalu menghulurkan kepada Mak Lela. Mak Lela menyambutnya dalam keadaan terpinga.
Tiba-tiba pemuda itu berkata “Maaf, saya lupa nak kenalkan diri. Nama saya Qhalief Adha. Qhalief Adha Bin Mohamad Ikbal”
Mendengar sahaja kata-kata yang keluar dari mulut anak muda tersebut, Mak Lela terus terkaku. Seribu satu kenangan bermain di ruang ingatannya. Ingatan bersama anak-anaknya terutama Ikbal. Tanpa dapat menahan air mata, Mak Lela terus menitiskan air mata lalu merangkul tubuh anak muda itu dengan erat. Dia tahu, pemuda yang dipeluknya kini adalah cucunya sendiri. Darah dagingnya sendiri. Pemuda itu juga menangis teresak-esak sambil meminta maaf kepada Mak Lela.
Dalam dakapan Mak Lela, pemuda itu menceritakan tujuannya ke sana untuk mencari Mak Lela. Sudah bertahun dia mencari Mak Lela sehingga dia menemui beberapa pucuk surat yang dijumpai dalam peti simpanan arwah bapanya iaitu anak sulung Mak Lela. Dalam surat-surat itu, arwah bapanya meminta Qhalief untuk mencari Mak Lela dan membawa wanita itu pulang serta menjaganya. Qhalief juga menemukan sepucuk surat yang tidak diketahui isi kandungannya dan tertulis perkataan “Khas buat Ibu” di hadapan sampul tersebut.


Wednesday, 6 April 2016

Bibliografi



BIBLIOGRAFI


A.Samad Said (1979). Dari Salina ke Langit Petang Proses Mencipta Novel. Kuala
   Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A.Samad Said (1980). Langit Petang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Abdullah (2001). Biografi Sasterawan Negara A.Samad Said. Kuala Lumpur:
   Dewan Bahasa dan Pustaka.




Rahimah A.Hamid (1997). “Melihat Penampilan Diri A.Samad Said Menerusi
   Beberapa Buah Karyanya.” Dewan Sastera, Julai. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
   dan Pustaka.

Tuesday, 5 April 2016

Kreativiti Pengarang




KREATIVITI A.SAMAD SAID DALAM MENGHASILKAN NOVEL LANGIT PETANG

Dalam menghasilkan novel Langit Petang, A.Samad Said mengatakan bahawa beliau ketika itu dirundung gelisah dan perasaan tidak selesa pada mulanya. Beliau diberi masa selama dua minggu untuk menyiapkan tiga buah cerpen. Pada ketika itu, beliau tinggal di kawasan setinggan yang sangat sempit dan gelap. Tambahan pula, ketiadaan mesin taip telah menambahkan lagi kebuntuan beliau dalam menghasilkan cerpen yang diminta. Beliau terpaksa menulis menggunakan tulisan tangan demi menyiapkan kerjanya. Namun, dengan jiwa penulis yang kian bersemangat telah membuatkan dia terus menulis cerpen walaupun penat dan letih menggunakan tangan. Tiba-tiba dia mendapat satu idea untuk menggabungkan ketiga-tiga cerpen itu menjadi sebuah novel. “Saya meneliti dan menyaring semula segala isi yang telah pun ada; memulakan rangka baru, menyusun bab-bab yang perlu, menyelang-selikan ketiga tokoh penting dalam persekitaran-persekitaran tertentu. Kerana segalanya telah pun sedia ada, masalahnya cuma masalah menyusunnya secara lojik, dan ini dapat diselesaikan dalam sehari. Pada pagi keempat saya sudah menulis Langit Petang-menulisnya dengan tulisan tangan.!” (A.Samad Said, 1979). Walau bagaimanapun, tulisan tangan tersebut tetap ditaip semula untuk diberikan kepada pihak penerbitan setelah beberapa kali dibaiki penulisannya sehingga menghasilkan sebuah novel yang menarik.
Selain itu, karya ini juga telah diadaptasikan kepada filem dan dilakonkan oleh pelakon, Azean Irdawaty. Filem ini sebuah melodrama yang mempunyai unsur "perjuangan tanah" yang di ambil daripada novel A.Samad Said. Di samping itu, novel ini juga dicetak semula oleh Lejen Press. Syarikat penerbitan ini telah memaklumkan hal tersebut di media sosial pada hujung Januari 2016. Walau bagaimanapun, mereka mendapati bahawa novel tersebut sudah habis ditempah sebelum mereka menjualnya kepada kedai-kedai buku. Cetakan pertama yang dikeluarkan mencecah 3000 naskah dan telah habis dijual. Novel ini dijual pada harga RM20.00 senaskah. Menurut Pengurus Urusan Lejen Press, Aisamuddin Asri, cetakan semula ini merupakan keperluan untuk karya besar dicetak semula dan generasi muda perlu menjadikan karya besar A.Samad Said sebagai salah satu bahan bacaan mereka agar nama A.Samad Said tidak lekang dek zaman.
Kesimpulannya, A.Samad Said merupakan salah seorang sasterawan yang mempunyai daya pemikiran yang tinggi sehingga mampu menghasilkan karya-karya yang dapat membuka mata pembaca dan memahami liku perjalanan hidup beliau. 





Sensitiviti Pengarang





Dalam laman ini saya tampilkan beberapa sensitiviti dan kreativiti A.Samad Said yang dapat dilihat pada novel Langit Petang.

SENSITIVITI A.SAMAD SAID DALAM MENGHASILKAN NOVEL LANGIT PETANG

“hampir tidak ada yang disembunyikan di sini sehingga jika seseorang rajin dan tekun menelitinya, ia akan sekali lalu dapat menyerapi dunia seseorang sasterawan yang seniman dengan segala rahsia kehidupan dan seninya.” (A.Samad Said, 1979)

Kata-kata A.Samad Said ini menjelaskan bahawa segala kehidupan dan pengalaman dirinya telah dikongsikan kepada pembaca dan bagi mereka yang benar-benar ingin mengenalinya secara mendalam sahaja dapat memahami segala kisah perjalanan hidup beliau. Setiap hasil karya beliau sama ada novel, cerpen, puisi ataupun drama adalah berkisarkan sedikit sebanyak daripada persekitaran yang dilihatnya sejak kecil.
Dalam karya A.Samad Said sememangnya tidak asing daripada bercerita tentang kisah kehidupan wanita, setinggan dan kereta api. Hal ini demikian kerana, sejak kecil lagi A.Samad Said dibesarkan dengan kasih sayang ibunya berbanding bapanya sendiri. Dari situ dia telah melihat jerih perih pengorbanan ibunya dalam membesarkannya. Tambahan pula, setelah berpindah ke Kota Singapura, hidupnya lebih terdedah kepada kawasan setinggan yang didiami oleh golongan pelacur. A.Samad Said mengenali ramai pelacur yang menjadi jirannya dan amat memahami apabila mengetahui bahawa golongan tersebut melacur atas desakan ekonomi dan dipaksa melakukan perbuatan tersebut. Manakala baginya kereta api itu adalah simbolik kepada pertemuan dan perpisahan (Rahimah A. Hamid, 1997).
Apa yang dapat dilihat dalam novel Langit Petang apabila A.Samad Said mewujudkan watak Zakiah yang merupakan bekas ratu cantik akhirnya mengalami penderitaan apabila ditipu oleh golongan lelaki. Zakiah pada mulanya seorang perawan yang ingin dibahagiakan oleh lelaki yang dicintainya. Akan tetapi kepercayaan beliau telah dihancurkan apabila lelaki tersebut mengkhianatinya setelah dia menggadaikan seluruh jiwa dan raganya. Semenjak daripada itu, dia amat mendendami lelaki dan sering membalas dendam terhadap lelaki yang cuba mendekatinya (A.Samad Said, 1980)
Seterusnya, novel Langit Petang terhasil daripada pengalaman perang yang dialami beliau sendiri pada zaman perang. A.Samad Said dapat melihat sendiri kesan peperangan yang telah membawa kepada penderitaan fizikal dan mental manusia. Oleh itu, beliau menghasilkan novel-novel derita ini melalui perasaan benci beliau terhadap peperangan. Di dalam fikirannya tidak sesekali padam tentang penderitaan akibat perang. Hal ini telah ditonjolkan dalam novel Langit Petang apabila beliau mewujudkan watak Ariff yang merupakan bekas guru yang telah banyak berjuang demi mencapai kemerdekaan. Walau bagaimanapun, hasil titik peluh beliau telah dicabul oleh golongan yang menentang dan tidak berjuang untuk memenangi kemerdekaan. A.Samad Said menunjukkan kepada pembaca bahawa pejuang sebenar kemerdekaan masih berbangga walaupun telah diketepikan pengorbanan mereka kerana dapat melihat kehidupan rakyat dan negara telah aman daripada penjajahan. Secara zahirnya kemerdekaan hanya dikecapi oleh mereka yang hanya mementingkan nama. Seperti pendapat Hanafi dalam Langit Petang (A.Samad Said, 1980) “kisah lama, betapa pedih pun, memberikan suatu kemesraan aneh.” (A.Samad Said, 1979)

Sinopsis Novel Langit Petang






SINOPSIS NOVEL LANGIT PETANG
Langit Petang berkisarkan tentang tiga tokoh yang berbeza latar belakang, sikap dan harapan akan tetapi mempunyai satu persoalan hidup yang sama: apakah yang dicari dalam hidup ini.? Novel ini diterbitkan pada tahun 1980 dan mempunyai latar masa sekitar zaman pascamerdeka (A.Samad Said, 1979)
Terdapat tiga kisah atau tema iaitu kisah seorang pejuang kemerdekaan yang telah memberikan seluruh jiwa dan raganya tetapi tidak menerima apa-apa penghargaan. Namun beliau tidak menyesal malah berasa puas apabila melihat tanah air yang diperjuangkan telah mencapai kemerdekaan. Sebaliknya mereka yang tidak berjuang (menentang) kemerdekaan dahulunya kini telah pun mengecapi kebebasan dan untung hasil daripada perjuangan orang lain. Seterusnya kisah seorang wartawan yang menghidapi penyakit “leukemia” tetapi masih setia melaporkan berita tentang orang dan peristiwa. A.Samad Said menimbulkan persoalan pada pembaca apabila tiba-tiba watak wartawan bertanya apa yang harus dilakukan terhadap dirinya kerana seseorang sentiasa terlupa bahawa ada yang lebih penting yang perlu dilakukan untuk memberikan isi kepada hidupnya sendiri. Kisah ketiga tentang seorang wanita yang menjadi pendendam kepada golongan lelaki setelah beberapa kali ditipu dan dinodai oleh janji lelaki. Di sini dapat dilihat pemikiran A.Samad Said untuk melahirkan pertanyaan kepada pembaca bahawa apa sebenarnya yang dicari oleh wanita tersebut? Cinta atau dendam.?
Walau bagaimanapun, A.Samad Said telah mewujudkan perkaitan antara ketiga-tiga latar belakang ini dengan menyelinapkan kisah-kisah antara satu sama lain (A.Samad Said, 1979). Pejuang kemerdekaan tiba-tiba bertemu wartawan dan wartawan tiba-tiba berbaik dengan wanita pendendam. Pejuang tua akhirnya bersedia untuk mengembara bagi menyaksikan sendiri tanah air yang pernah diperjuangkannya, dia berhak untuk menyedut udara kemerdekaan itu dengan bangganya. Bagi wartawan pula, ia menemui kesedaran baru bahawa dia terlalu lama terjerat dalam satu keadaan yang memaksanya menjadi pelapor. Dia perlu mengisi hidupnya dengan nilai yang lebih bermakna lagi.

Namun, hanya wanita pendendam sahaja A.Samad Said membiarkan penyelesaiannya tergantung. Dapatkah wanita pendendam mencari kebahagiaan hidup sekiranya dia secara terus-terusan membalas dendam terhadap lelaki.? Secara keseluruhan tiga kisah ini akhirnya menemukan satu titik pertemuan yang menimbulkan persoalan falsafah terhadap diri pembaca.

Biografi Pengarang





BIOGRAFI PENGARANG: A.SAMAD SAID
Dunia atau khususnya negara Malaysia sememangnya tidak asing lagi dengan nama A.Samad Said. Nama ini pernah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia kerana cukup terkenal sehingga kini. A.Samad Said atau nama sebenar beliau Abdul Samad Bin Muhammad Said merupakan Sasterawan Negara yang keempat. Beliau dilahirkan pada 9 April 1935* di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Pada usia yang begitu mentah iaitu seawal 6 bulan, beliau telah berpindah dan menetap di Kota Singapura. Kini, beliau sedang menetap di Bangsar, Kuala Lumpur. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja, Monk’s Hill School, Singapura. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Victoria Institution dan Betty Secondary School (Awang Abdullah, 2001).
Sejak menceburkan diri dalam dunia penulisan pada tahun1953, A.Samad Said mencuba segala genre kesusasteraan seperti puisi, cerpen, drama, esei  dan novel (dewasa dan kanak-kanak). Karya-karyanya terkumpul dalam Liar di Api (cerpen dan sajak), Daun-daun Berguguran (cerpen dan sajak, bersama Salmi Manja), Debar Pertama (cerpen), Di Mana Bulan Selalu Retak (drama), Ke Mana Terbangnya si Burung Senja (cerpen dan drama TV), dua kumpulan sajak: Benih Harapan dan Daun Semalu Pucuk Paku, Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden (esei, bersama Usman Awang) dan Warkah Kepada Salmi Manja (surat-surat). Novel-novelnya pula Salina, Sungai Mengalir Lesu, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Di Hadapan Pulau dan Langit Petang. Dalam menghasilkan pelbagai genre kesusasteraan, A.Samad Said sering menggunakan nama pena Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jami Kelana dan nama A.Samad Said.
Walau bagaimanapun, A.Samad Said pernah menjadi kerani di Hospital Besar Singapura sebelum bertugas di beberapa akhbar seperti Fikiran Rakyat, Utusan Melayu dan Berita Harian. Setelah melibatkan diri dalam bidang kesusasteraan, beliau telah berjaya meraih pelbagai anugerah hasil daripada pejuangannya dalam meningkatkan mutu kesusasteraan di mata dunia. Pada tahun 1976, A.Samad Said telah menerima Anugerah Pejuang Sastera sebelum menerima anugerah Panel Anugerah Sastera pada tahun berikutnya. Pada tahun yang sama iaitu 1979, beliau telah mendapat anugerah Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Awards) sebagai penghargaan terhadap hasil penulisan beliau yang amat baik.
Seterusnya pada tahun 1985, beliau telah mendapat anugerah setimpal dengan kelayakan dan hasil usaha beliau untuk menghasilkan pelbagai genre kesusasteraan yang dapat diterima umum sehingga dinobatkan sebagai Sasterawan Negara keempat pada tahun 1985. Kegemilangan beliau tidak berakhir pada tahun 80-an sahaja, malah lebih diberi penghormatan oleh dunia apabila beliau berjaya menerima Anugerah ASEAN pada tahun 1993 dalam kategori sastera. Sehubungan itu, penglibatan dan sumbangan beliau kepada bidang kesusasteraan Melayu secara berterusan di Malaysia telah diberi penghormatan daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka apabila diberi gelaran "Datuk."

Thursday, 31 March 2016

Latar Belakang Blogger


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Blog ini dihasilkan bagi berkongsi ilmu dan pendapat tentang pemikiran Sasterawan Negara A.Samad Said dalam penulisan hasil karya beliau. Di samping itu, pengunjung dapat mengenali A.Samad Said dengan lebih mendalam melalui biografi dan pemikiran beliau berdasarkan salah sebuah novel beliau; Langit Petang.







LATAR BELAKANG BLOGGER
Assalamualaikum dan terima kasih diucapkan kepada semua pengunjung yang sudi untuk melihat blog saya. Memandangkan ini merupakan tulisan saya yang pertama dalam dunia maya, jadi saya ingin memperkenalkan serba sedikit tentang diri saya agar anda semua dapat mengenali pemilik blog Jendela Sastera ini.
Nama             : Norfariza Asmida Binti Mohd Rafiaee
Tarikh Lahir    : 29 April 1994
Tempat Lahir  : Hospital Besar Taiping, Perak
Asal                : Parit Buntar, Perak
Pendidikan     : SK Methodist, 34200 Parit Buntar, Perak (2001-2006)
 : SMK Methodist (ACS), 34200 Parit Buntar, Perak   (2007-2011)
 : SMK Panglima Bukit Gantang, 34200 Parit Buntar, Perak (2012-2013)
 : Universiti Sains Malaysia, Pulang Pinang (2014 – kini)
Major              : Kesusasteraan (Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian)
Minor              : Pentadbiran Awam
Hasil Karya    : Wanita (Puisi)
Fb/Ig              : Fariza Rafiaee