Cahaya
Kedua
I
“Esok
Ateng datang lagi ye mak. Kalau tak esok mungkin minggu depan.”
Mak
Munah hanya tersenyum sambil mengangguk kepalanya. Matanya mengikut gerak geri
anak tunggalnya itu sehingga gadis manis itu masuk ke dalam keretanya. Di tubir
matanya terlihat air jernih yang bergelinangan setelah melihat kereta anaknya itu
meluncur laju meninggalkan Rumah Kebajikan Kerian Permai. Dia mulai rindu akan anak
tunggalnya. Jika berkesempatan, di usia yang kian senja biarlah dia hidup
bersama anak gadisnya itu, menghabiskan sisa baki usia bersama satu-satunya
darah dagingnya yang tinggal. Akan tetapi dia sedar hal itu bakal menyusahkan
anaknya di kemudian hari.
Ateng
hanya bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang. Waktu bekerja
Ateng tidak menentu. Kadang-kadang dia terpaksa bekerja sehingga 12 jam sehari.
Mak Munah mengerti jika dia tinggal bersama Ateng sudah tentu hal ini akan
mengganggu masa Ateng kerana terpaksa memikirkan diri Mak Munah dirumahnya.
Oleh itu Mak Munah mengorbankan keinginannya untuk tinggal bersama anaknya.
Biarlah hatinya menderita tatkala merindui wajah anaknya asalkan anaknya itu
dapat bekerja dengan tenang.
Tambahan
pula, boleh dikatakan setiap hari Ateng akan menziarahinya di rumah orang-orang
tua itu. Ateng juga pernah membawa Mak Munah bersiar-siar dan pulang ke
rumahnya untuk beberapa hari. Itupun kalau anaknya itu cuti. Jika tidak
berkelapangan, pasti anak gadis itu akan bertanyakan khabar Mak Munah melalui
panggilan telefon. Mak Munah sedar, Ateng menghantarnya ke rumah kebajikan
bukanlah kerana tidak sanggup menjaganya, akan tetapi risau akan diri Mak Munah
jika dia meninggalkan ibunya itu keseorangan di rumah. Tambahan pula, kesihatan
Mak Munah tidak begitu baik.
“Amboi
hang, hari-hari anak mai pun dok sedih lagi ka? Bukannya budak tu tak mai dah.
Esok lusa dok jengok hang jugak kan?” kata Mak Lela yang merupakan salah
seorang penghuni Rumah Kebajikan Kerian Permai.
Mak
Munah yang tersentak dengan kehadiran Mak Lela yang tiba-tiba keluar dari dalam
rumah itu. Lalu dengan pintas sekali dia mengesat air matanya daripada menitis
ke pipi.
“Tak
lah Lela. Aku kesian kat anak aku tu. Kerja tak menentu. Penat. Tapi masih
sanggup nak melawat aku” balas Mak Munah yang fikirannya masih kepada anak
gadisnya itu.
“Biasalah
tu. Nama pun anak. Dah jadi tanggungjawab dia kan nak kena tengok hang
hari-hari” sambung Mak Lela lagi sambil tangannya membelek-belek sekeping
sampul surat. “Hang pun toksah la mengada-ngada suruh dia mai hari-hari. Sekali
sekala tu bagi la dia cuti sama.”
Mak
Munah hanya tersenyum mendengar kata-kata Mak Lela. Selama dia tinggal di sini,
Mak Lela yang selalu menjadi teman setianya. Mak Lela merupakan penghuni paling
lama yang menetap di situ. Kira-kira hampir 8 tahun. Bagi Mak Munah, Mak Lela
senasib dengannya. Mak Lela terpaksa tinggal di situ kerana anak-anaknya sibuk
bekerja dan tidak mempunyai masa menjaganya. Cuma anak-anak Mak Lela tidak
seperti anaknya Ateng yang hanya berkelulusan SPM.
Anak-anak
Mak Lela masing-masing bekerja sebagai jurutera, doktor, arkitek dan
juruterbang. Mak Lela sering membangga-banggakan anaknya kepada kawan-kawannya.
Dia menceritakan kemewahan hidup anak-anaknya yang mempunyai pekerjaan
profesional. Ada ketikanya Mak Munah terasa hati dengan Mak Lela kerana rakannya
itu sering membandingkan anak-anaknya dengan Ateng. Sedang leka melayan
fikirannya tiba-tiba mata Mak Munah tertancap kepada sekeping sampul surat yang
dipegang oleh Mak Lela. “Surat daripada siapa tu Lela?”
“Oh
ni. Bukan surat. Duit” Balas Mak Lela.
“Duit?
Oh lupa pula. Duit daripada anak-anak kau.”
“Hang
tu memang. Tiap-tiap bulan dok nampak aku pegang sampul pun dok tanya lagi apa
dia. Tau la dah nyanyok” kata Mak Lela sambil menjeling Mak Munah.
“Nak
buat macam mana. Kita dah tua. Mudah lupa. Nanti anak-anak kita dah tua macam
kita mesti depa pun suka lupa jugak”
Tiba-tiba
riak wajah Mak Lela berubah. Senyuman yang meleret tatkala mengira jumlah wang
yang dikirim anaknya itu tiba-tiba hilang. Mak Munah perasan akan perubahan
riak wajah rakannya itu. Dia tertanya-tanya, adakah dia tersalah cakap di
hadapan wanita lewat 50-an itu. Mak Lela kemudian meletakkan kembali wang itu
ke dalam sampul surat lalu meminta diri untuk masuk ke dalam. Mak Munah hairan.
Hairan dengan sikap dan tingkah laku Mak Lela yang tiba-tiba berubah apabila
anak-anak Mak Lela menjadi topik perbualan mereka.
II
Keesokan
harinya seperti yang dijanjikan Ateng, dia datang melawat ibunya. Kebetulan dia
mendapat pelepasan untuk kerja separuh hari, jadi dia mengambil kesempatan
untuk meluangkan lebih lama masa bersama ibunya. Sudah menjadi rutin kepada
Ateng apabila tidak pernah lupa untuk membawa buah tangan kepada ibunya dan
penghuni-penghuni lain. Walaupun kadang-kadang dia terpaksa ikat perut
semata-mata ingin melihat penghuni-penghuni lain tidak berasa tersisih apabila
melihat dia selalu melawat ibunya. Dia sedar tidak semua penghuni itu bernasib
baik untuk menerima kunjungan daripada anak masing-masing.
Sejurus
sahaja sampai di perkarangan Rumah Kebajikan Kerian Permai itu, kelihatan
ibunya sudah tersenyum dari jauh menunggu kehadirannya. Ibunya sedang minum
petang bersama beberapa penghuni rumah kebajikan itu. Ateng amat mengenali
kesemua penghuni di situ kerana seringkali berbual dengan mereka apabila dia
melawat Mak Munah. Kelihatan Mak Lela dan Mak Jaroh turut ada bersama ibunya.
Ateng berasa senang hati apabila melihat ibunya mempunyai kawan rapat dan tidak
dipinggirkan oleh penghuni lain di sana.
Walaupun
mulut Mak Lela dan Mak Jaroh agak celupar terhadap dirinya tetapi dia tidak
pernah mengambil hati dengan kata-kata mereka asalkan ibunya selesa berkawan
dengan mereka. Mak Lela dan Mak Jaroh selalu mempertikaikan kemampuannya untuk
membeli buah tangan kepada mereka. Tambahan pula Ateng hanya seorang pekerja
kilang tetapi mampu untuk membelikan keperluan ibunya dan menghulurkan sejumlah
wang buat perbelanjaan Mak Munah.
“Assalamualaikum
mak. Mak apa khabar?” sapa Ateng setelah kakinya melangkah menghampiri ruang
makan tempat ibunya duduk.
“Walaikumsalam
Ateng. Awal kamu datang hari ni. Cuti ke?” balas Mak Munah sambil menyambut
huluran tangan Ateng yang ingin bersalam dengannya.
“Tak
de lah mak. Ateng kerja separuh hari. Rasa macam malas pulak nak buat OT (overtime) hari ni” balas Ateng.
Tiba-tiba
Mak Jaroh menyampuk perbualan di antara dua beranak itu. “Apa punya anak dara.
Pemalaih. Esok kalau dah menikah, lagi banyak tanggungjawab hang.”
Ateng
terkejut apabila mendengar kata-kata Mak Jaroh yang tiba-tiba sahaja mencelah.
Dia tersenyum kelat. Lalu Mak Lela pula berbalas kata dengan Mak Jaroh.
“Alaa
Jaroh. Biasa la tu anak dara la ni. Tu baru kerja kilang. Belum kerja
hebat-hebat lagi. Tengok la anak aku si Nina tu. Dia tu doktor tau. Kerja kat
hospital kerajaan lagi. Kerja lagi tak menentu. Kadang-kadang sampai tak cuti
langsung. Siang orang kerja, dia kerja. Malam orang tidoq, dia kerja lagi. Tapi
takpa la, gaji tinggi. Kerja banyak pon tak terasa” kata Mak Lela yang sudah
mula menunjukkan riak di hatinya.
“Aku
paham. Jangan kira anak hang ja. Tu anak aku. Pilot. Sebulan berapa kali pi terbang luaq negara. Luaq negara tu
bole dok kata tempat kencing berak dia dah. Tu yang sampai jumpa jodoh pon
dengan orang luaq negara. Perempuan Malaysia ni apa ada sangat. Pemalaih. Salah
satu contohnya macam ni la. Baru kerja sikit dah merungut.” Sambung Mak Jaroh.
Dua
beranak itu hanya mampu terkedu. Ateng hanya mampu tunduk dan tersenyum kelat
manakala Mak Munah sudah berubah riak wajahnya apabila mendengar kata-kata
rakan-rakannya. Dia terkesima. Dia tidak tahu apa perasaannya kini apabila anak
gadis kesayangannya dipandang rendah oleh mereka. Sedih. Kecewa. Sentap. Marah.
Dia sendiri tak pasti kerana Ateng selalu berpesan kepadanya supaya jangan
menyimpan perasaan negatif kepada orang lain yang menilai mereka. Setiap
manusia mempunyai hak untuk bersuara.
Setelah
hampir tiga jam meluangkan masa bersama ibunya di rumah kebajikan itu, Ateng
mula meminta diri untuk pulang ke rumah. Ateng gembira apabila dapat
menghabiskan masa senggangnya untuk melawat ke rumah orang-orang tua. Bagi
Ateng, mereka bagaikan satu keluarga. Oleh sebab itu Ateng tidak kisah untuk
melaburkan duit gajinya kepada warga tua di situ kerana mereka seakan ibu bapa
Ateng. Mereka kasih dan sayang antara satu sama lain.
III
Setelah
selesai solat Isyak berjemaah, para penghuni Rumah Kebajikan Kerian Permai akan
berkumpul meluangkan masa bersama-sama sambil menonton televisyen, bermain
permainan dalam dan berbual kosong. Dalam kesibukan orang lain, tiba-tiba Mak
Munah perasan akan ketiadaan Mak Lela dan Mak Jaroh. Dia mencari di mana perginya
wanita berdua itu. Mustahil mereka sudah tidur pada waktu awal begini.
Selalunya mereka berdualah yang sering menjadi orang terakhir tidur kerana
gemar menonton televisyen sehingga larut malam.
Mak
Munah menjengah ke dalam bilik kedua-dua rakannya itu. Kelibat mereka tidak Mak
Munah temui. Lalu Mak Munah ke dapur untuk terus mencari. Mak Munah terserempak
dengan Puan Noorly yang merupakan salah seorang penjaga di rumah kebajikan itu.
Mak Munah bertanyakan kepada wanita muda itu ke mana perginya Mak Lela dan Mak
Jaroh. Puan Noorly berkata bahawa Mak Lela dan Mak Jaroh sedang mengambil angin
di beranda luar rumah. Lalu Mak Munah berjalan menuju ke luar.
Setibanya
Mak Munah di muka pintu, beliau terlihat kedua-dua rakannya sedang berbual di
kerusi malas yang terletak pada beranda rumah itu. Lalu dia menghampiri mereka
dan secara tidak langsung terdengar perbualan antara mereka. Kini dia berdiri
betul-betul di belakang mereka. Justeru itu, pendengaran Mak Munah semakin
jelas tentang perbualan Mak Lela dan Mak Jaroh. Perbualan kedua-duanya
diselangi esakan tangis masing-masing. Mak Lela mengatakan kepada Mak Jaroh
bahawa dia sangat sunyi dan terlalu merindui anaknya. Kadang-kadang dia
terpaksa ego dengan dirinya untuk memperlihatkan kepada orang ramai bahawa dia
sangat bahagia. Dia sedar bahawa duit kiriman anak-anaknya selama ini tidak
mendatangkan apa makna baginya jika setiap hari asyik merindukan darah
dagingnya. Walaupun dia sedar bahawa anaknya tidak akan datang menjenguknya,
tetapi Mak Lela masih berharap bahawa setiap kiriman wang yang dikirim oleh
anaknya, terselit sepucuk surat hasil titipan anaknya.
Dia
merindukan perkahabaran anaknya, biarlah anaknya tidak mengambil tahu akan
sakit demamnya, asalkan anaknya memberitahu kehidupan mereka di sana. Pernah
juga dia cuba untuk kirimkan surat kepada anaknya tetapi malangnya surat itu
tidak berbalas. Mak Lela juga menceritakan bahawa dia juga cuba untuk
menghubungi anaknya menerusi telefon, tetapi tidak pernah dijawab. Kadang-kadang
Mak Lela sengaja menelefon anaknya di hadapan rakan-rakannya supaya dapat
menunjukkan kemesraan antara dia dan anaknya. Walau bagaimanapun, perasaannya
hampa apabila anaknya tidak menjawab. Bagi menjaga air mukanya, dia sanggup
berpura-pura seakan sedang berbual dengan anaknya menerusi telefon walaupun
pada ketika itu sebenarnya tiada siapa yang bercakap di talian.
Selama ini dia sering memuji anak-anaknya di
hadapan rakan-rakannya walhal dari sudut hatinya, dia sangat malu terhadap
sikap anaknya. Di usia yang semakin tua, dia sangat perlukan kasih sayang
daripada anak-anak sebagaimana anak-anaknya memerlukan dia sewaktu mereka
kecil. Dia memuji anak-anaknya kerana cemburu terhadap rakan-rakannya yang
masih mendapat perhatian anak-anak mereka. Tambahan pula Mak Munah. Mak Lela
akui bahawa dia sangat iri hati dengan layanan yang diberikan kepada Mak Munah
oleh anaknya, Ateng. Ateng masih mempunyai masa untuk melawat ibunya walaupun
sesibuk manapun beliau berbanding anak Mak Lela sendiri. Gaji Ateng pula tidak
sebanyak gaji anaknya tetapi cara Ateng berbelanja kepada ibunya sudah cukup
membuatkan ibunya gembira.
Mak
Lela masih ingat lagi, dahulu anak sulungnya, Ikbal sering merungut kerana gaji
dia sebagai juruterbang masih tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan
mereka sekeluarga. Walhal pada masa itu Ikbal masih belum berumah tangga dan
hanya Mak Lela sebagai tanggungannya. Mak Lela pula bukanlah seorang yang
pentingkan kemewahan dalam berpakaian mahupun harta benda. Dia menjadi hairan
dengan perbezaan antara Ateng dan Ikbal. Bila difikirkan semula, barulah dia
sedar bahawa inilah yang dinamakan keberkatan. Keberkatan insan yang bernama
ibu. Sepanjang Ikbal bekerja, anaknya itu tidak sekali pun pernah bersalaman
dengannya untuk meminta restu atau izin ke tempat kerjanya, dia juga tidak
pernah melihat Ikbal solat setelah jejaka itu menjengah usia dewasa. Perlakuan
Ikbal jauh berbeza dengan anak Mak Munah, Ateng.
Ateng
merupakan seorang anak gadis yang tinggi budi bahasa, walaupun dia bukanlah
golongan berpendidikan tetapi gadis itu masih tahu baik buruk yang dilakukan.
Setiap kali Ateng melawat ibunya, gadis itu tidak pernah lupa untuk bersalaman
dan meminta izin untuk pulang kepada Mak Munah. Ateng juga seorang gadis yang
menjaga auratnya dan tidak lupa untuk meminta ibunya sentiasa mendoakan
kesejahteraannya setiap hari. Oleh itu, tidak hairanlah jika gadis itu sentiasa
disayangi Mak Munah dan masih mampu untuk menampung kehidupan ibunya walaupun
bekerja biasa kerana Allah SWT sentiasa merahmati anak yang berbakti kepada ibu
bapanya.
Sedang
asyik Mak Munah mendengar luahan hati Mak Lela, tiba-tiba Mak Jaroh tersedar
akan kehadiran Mak Munah. Mak Munah hanya melemparkan senyuman kepada Mak Jaroh
sambil hatinya sedang menahan sebak berikutan mendengar kisah rakannya. Dia mempersilakan
Mak Munah duduk di kerusi bersebelahan dengan Mak Lela. Mak Munah hanya
mengangguk sebelum melabuhkan punggungnya di kerusi. Mak Lela kelihatan
menundukkan kepalanya apabila berhadapan dengan Mak Munah. Dia tidak mahu
wanita tua itu tahu akan rasa hatinya kini. Dia berharap bahawa Mak Munah tidak
mendengar butir bicaranya sebentar tadi kerana masih malu apabila rakannya tahu
akan kebenaran kehidupannya yang sebenar.
Namun,
secara tiba-tiba Mak Munah mengenggam tangan Mak Lela seakan ingin memberitahu
kepada rakannya supaya bersabar. Dia juga ingin memberitahu bahawa dia telah
mendengar segala apa yang telah dibicarakan oleh Mak Lela. Tanpa boleh menahan
sebak di hati, Mak Lela terus memeluk Mak Munah. Mak Munah membiarkan Mak Lela
menangis semahunya di bahunya sambil diperhatikan oleh Mak Jaroh yang pada masa
itu turut tidak dapat menahan sebak. Sambil menangis teresak-esak, Mak Lela
berkata,
“Aku minta maaf Munah, selama ini apa yang aku
ceritakan tentang anak aku semua tu tak benar. Aku malu. Aku sunyi. Aku rindu
anak-anak aku. Kenapa mereka lupakan aku. Apa salah aku.”
“Aku
tahu Lela, aku dah dengar semuanya tadi. Engkau tak salah. Anak kau pun tak
salah. Fitrah manusia, tak lari daripada buat kesalahan. Tak lari daripada
sering terleka. Satu hari nanti anak kau mesti datang.” Pujuk Mak Munah.
Lalu
Mak Lela melepaskan pelukan dan berkata, “tidak, tidak Munah. Aku rasa dalam
hal ni aku yang bersalah. Semuanya berpunca daripada aku. Kalau aku tak abaikan
mereka sejak kecil mungkin benda macam ni takkan jadi. Aku ibu yang tak da
amanah Munah, aku kejam”.
“Astaghfirullahaladzim,
apa yang kau merepek ni Lela. Semua ni takdir Allah. Kita sebagai hamba perlu
redha, bukan menyesal dengan semua ni. Setiap yang terjadi mesti ada hikmah.
Kalau kau menyesal, umpama kau menidakkan aturan Allah SWT. Mengucap Lela.”
Balas Mak Munah sambil mengurut dadanya kerana terkesima dengan kata-kata yang
keluar dari mulut Mak Lela.
Mak
Lela menyambung, “Aku tahu Munah, tapi sejak mereka kecil aku sering abaikan
mereka. Aku langsung tidak mengambil tahu perihal peribadi mereka. Mana
tidaknya, setelah aku habis pantang melahirkan mereka, aku terus menghantar
mereka ke rumah penjagaan kanak-kanak. Rutin ini berlanjutan sehingga mereka
memasuki darjah satu kemudian aku memasukkan mereka ke sekolah berasrama.
Apabila di rumah aku melepaskan tanggungjawab menjaga mereka kepada bibik yang ada.”
Mak
Munah hanya memandang sepi wajah anaknya. Kini baru dia mengerti bahawa apa
yang dikesali oleh rakannya itu. Rakannya beranggapan bahawa segala yang
terjadi ini adalah kifarah kepada kesilapan yang dilakukannya dahulu. Mak Lela
mengaku bahawa dia sering mengabaikan tanggungjawab menjaga anak-anaknya.
Walaupun segala keperluan anaknya dia turuti tetapi Mak Lela tidak mempedulikan
sebarang kemahuan anak-anaknya. Mak Lela terlalu mementingkan pelajaran anaknya
sehingga lupa untuk mengetahui segala masalah yang dihadapi oleh anaknya.
Impian dia ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran sudah tercapai.
Tetapi, itu adalah impiannya yakni bukan impian anak-anaknya. Segala pekerjaan
yang dimiliki anak-anaknya merupakan impian Mak Lela semata-mata.
Kini,
Mak Lela sedar bahawa kerana impian itu juga telah menentukan di mana dia
berada sekarang. Oleh kerana impian dia, anak-anaknya kini telah sibuk mengejar
duniawi dan mengabaikannya. Impian itu juga yang telah mendidik anak-anaknya untuk
mencintai pekerjaan mereka tetapi bukan ibu mereka. Mungkin dahulu Mak Lela
menghantar mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak dan kini mereka juga telah
melakukan perbuatan yang sama. Mak Lela seakan telah meragut sendiri kasih
sayang antara ibu dan anak. Oleh itu, apabila anak-anaknya menjengah dewasa
mereka tidak mengenali kasih sayang, cinta dan pengorbanan seorang ibu.
Mungkin
ini adalah bayaran kepada perbuatan Mak Lela dahulu. Jika dia mengatakan hal
ini tidak wajar dilakukan oleh anak dengan menghantar ibu mereka ke rumah
kebajikan, jadi wajarkah dahulu dia sendiri yang menghantar mereka ke pusat
asuhan sewaktu mereka masih memerlukan kasih sayang. Jika Mak Lela
mempertikaikan tanggungjawab anak untuk menjaga ibu bapa apabila mereka tua,
jadi di mana pula nilai amanah yang dianugerahkan kepada Mak Lela untuk menjaga
anak-anaknya semasa kecil.
Mak
Lela akhirnya akui dia perlu menerima hakikat segala takdir yang ditentukan
kepadanya walaupun kenyataan itu sangat perit. Mak Lela berharap kehidupannya
di sini akan menjadi semakin baik tanpa memiliki sifat iri hati kepada
rakan-rakannya. Dia sebenarnya terlepas pandang kepada suatu hakikat. Hari demi
hari dia menantikan kedatangan orang tersayang sehinggakan dia terlupa bahawa
dia masih mempunyai orang yang sayang akan dirinya di sekeliling. Mak Lela akur
jika perlu menghabiskan sisa baki kehidupannya di rumah kebajikan tersebut
tanpa ditemani oleh anak-anaknya disisi. Walau bagaimanapun, di setiap doanya
dia berharap segala kesilapannya diampuni Allah dan doanya untuk bertemu
anaknya termakbul.
IV
20 tahun kemudian
Seperti
kebiasaan, setiap kali Syawal bakal tiba semua penghuni Rumah Kebajikan Kerian
Permai akan mengadakan gotong royong membersihkan halaman rumah kebajikan
tersebut. Tidak lupa juga sesetengah penghuni yang membuat persediaan untuk
menyediakan juadah pada hari raya. Kelihatan Mak Jaroh dan Mak Munah sedang
asyik memukul kuih bahulu untuk disajikan pada kesemua penghuni rumah itu. Pada
ketika itu juga, Mak Lela dan Puan Noorly sedang memasang langsir di setiap
tingkap rumah. Walaupun usia penghuni rumah kebajikan itu kelihatan sangat tua
tetapi setiap tahun mereka mempunyai semangat baru untuk menyambut perayaan Aidil Fitri. Kudrat yang
dimiliki masing-masing sudah cukup membuktikan bahawa mereka masih gembira
beraya bersama.
Ketika Mak Lela ingin memasang langsir di
tingkap menghadap halaman rumah itu, dia melihat susuk tubuh seorang pemuda
dalam lingkungan 22 tahun sedang berdiri di tengah halaman rumah. Lelaki itu
seperti terpinga-pinga. Puan Noorly yang pada ketika itu juga turut perasan
akan kehadiran lelaki itu lalu terus menuju ke luar rumah mendapatkan jejaka
itu. Pada penglihatan Mak Lela, dia seakan mengenali raut wajah pemuda ini. Dia
cuba untuk mengingatinya tetapi memandangkan usinya menjangkau lewat 70-an
telah membuatkan dia sukar untuk mengenal pasti dengan lebih jelas. Kelihatan
Puan Noorly sedang berbual dengan pemuda itu. Mak Lela cuba mengendahkan
tentang perihal mereka berdua dengan meneruskan kerjanya.
Tiba-tiba
Puan Noorly datang kepadanya dan berkata bahawa pemuda tadi ingin berjumpa
dengan Mak Lela. Mak Lela menjadi tidak keruan. Dalam hatinya tertanya-tanya
siapa gerangan pemuda tersebut. Tanpa berlengah, Mak Lela pun menuju ke luar
rumah dan menghampiri pemuda itu yang sedang duduk di kerusi luar rumah. Pemuda
tersebut sedar akan kehadiran Mak Lela lalu memberikan salam kepada Mak Lela.
Mak Lela menjawab dengan mesra tetapi difikirannya masih hendak tahu apa tujuan
pemuda itu ingin bertemu dengannya.
Kemudian
pemuda itu meneruskan pertanyaannya. “Mak cik ni Puan Maslela Binti Abu Kasim
ke ?
Mak
Lela terpanar dengan pertanyaan anak muda itu. Dari mana pemuda ini tahu akan
namanya. “Betul itu nama Mak Cik. Tapi anak ni siapa ye. Macam mana anak boleh
tahu nama makcik ? Tanya Mak Lela sambil melemparkan senyuman.
Setelah
mendengar jawapan daripada Mak Lela, lelaki itu kelihatan sangat gembira. Dalam
kegembiraan di wajahnya, Mak Lela terlihat ada linangan air jernih di tubir
mata pemuda itu. Mak Lela semakin hairan. Tidak sempat Mak Lela bertanyakan
lagi, pemuda tersebut tiba-tiba mengeluarkan dua keping foto dari beg galasnya
lalu menghulurkannya kepada Mak Lela. Mak Lela menyambutnya dalam kehairan. Mak
Lela melihat foto-foto yang diberikan. Sungguh mengejutkan Mak Lela apabila
foto pertama itu merupakan foto Mak Lela sendiri dengan anak-anaknya Ikbal, Nina,
Hafiz dan Nizam sewaktu mereka masih kanak-kanak.
Tiba-tiba
Mak Lela rindukan saat dia bersama anak-anaknya. Mak Lela hairan bagaimana
pemuda ini dapat menyimpan foto ini. Kemudian Mak Lela beralih kepada foto
seterusnya. Foto kedua menunjukkan gambar anak sulungnya, Ikbal bersama seorang
kanak-kanak. Mak Lela memerhati foto kedua itu sebetulnya. Kelihatan
kanak-kanak itu mirip anak muda di hadapannya. Namun begitu, Mak Lela masih
tidak mengerti apa yang ingin disampaikan oleh lelaki ini. Melihat Mak Lela
yang seakan terpinga-pinga, pemuda tersebut kemudian mengeluarkan sepucuk surat
daripada begnya lalu menghulurkan kepada Mak Lela. Mak Lela menyambutnya dalam
keadaan terpinga.
Tiba-tiba
pemuda itu berkata “Maaf, saya lupa nak kenalkan diri. Nama saya Qhalief Adha.
Qhalief Adha Bin Mohamad Ikbal”
Mendengar
sahaja kata-kata yang keluar dari mulut anak muda tersebut, Mak Lela terus
terkaku. Seribu satu kenangan bermain di ruang ingatannya. Ingatan bersama
anak-anaknya terutama Ikbal. Tanpa dapat menahan air mata, Mak Lela terus
menitiskan air mata lalu merangkul tubuh anak muda itu dengan erat. Dia tahu,
pemuda yang dipeluknya kini adalah cucunya sendiri. Darah dagingnya sendiri.
Pemuda itu juga menangis teresak-esak sambil meminta maaf kepada Mak Lela.
Dalam
dakapan Mak Lela, pemuda itu menceritakan tujuannya ke sana untuk mencari Mak
Lela. Sudah bertahun dia mencari Mak Lela sehingga dia menemui beberapa pucuk
surat yang dijumpai dalam peti simpanan arwah bapanya iaitu anak sulung Mak
Lela. Dalam surat-surat itu, arwah bapanya meminta Qhalief untuk mencari Mak
Lela dan membawa wanita itu pulang serta menjaganya. Qhalief juga menemukan
sepucuk surat yang tidak diketahui isi kandungannya dan tertulis perkataan
“Khas buat Ibu” di hadapan sampul tersebut.
No comments:
Post a Comment