Wednesday, 6 April 2016

Bibliografi



BIBLIOGRAFI


A.Samad Said (1979). Dari Salina ke Langit Petang Proses Mencipta Novel. Kuala
   Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A.Samad Said (1980). Langit Petang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Abdullah (2001). Biografi Sasterawan Negara A.Samad Said. Kuala Lumpur:
   Dewan Bahasa dan Pustaka.




Rahimah A.Hamid (1997). “Melihat Penampilan Diri A.Samad Said Menerusi
   Beberapa Buah Karyanya.” Dewan Sastera, Julai. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
   dan Pustaka.

Tuesday, 5 April 2016

Kreativiti Pengarang




KREATIVITI A.SAMAD SAID DALAM MENGHASILKAN NOVEL LANGIT PETANG

Dalam menghasilkan novel Langit Petang, A.Samad Said mengatakan bahawa beliau ketika itu dirundung gelisah dan perasaan tidak selesa pada mulanya. Beliau diberi masa selama dua minggu untuk menyiapkan tiga buah cerpen. Pada ketika itu, beliau tinggal di kawasan setinggan yang sangat sempit dan gelap. Tambahan pula, ketiadaan mesin taip telah menambahkan lagi kebuntuan beliau dalam menghasilkan cerpen yang diminta. Beliau terpaksa menulis menggunakan tulisan tangan demi menyiapkan kerjanya. Namun, dengan jiwa penulis yang kian bersemangat telah membuatkan dia terus menulis cerpen walaupun penat dan letih menggunakan tangan. Tiba-tiba dia mendapat satu idea untuk menggabungkan ketiga-tiga cerpen itu menjadi sebuah novel. “Saya meneliti dan menyaring semula segala isi yang telah pun ada; memulakan rangka baru, menyusun bab-bab yang perlu, menyelang-selikan ketiga tokoh penting dalam persekitaran-persekitaran tertentu. Kerana segalanya telah pun sedia ada, masalahnya cuma masalah menyusunnya secara lojik, dan ini dapat diselesaikan dalam sehari. Pada pagi keempat saya sudah menulis Langit Petang-menulisnya dengan tulisan tangan.!” (A.Samad Said, 1979). Walau bagaimanapun, tulisan tangan tersebut tetap ditaip semula untuk diberikan kepada pihak penerbitan setelah beberapa kali dibaiki penulisannya sehingga menghasilkan sebuah novel yang menarik.
Selain itu, karya ini juga telah diadaptasikan kepada filem dan dilakonkan oleh pelakon, Azean Irdawaty. Filem ini sebuah melodrama yang mempunyai unsur "perjuangan tanah" yang di ambil daripada novel A.Samad Said. Di samping itu, novel ini juga dicetak semula oleh Lejen Press. Syarikat penerbitan ini telah memaklumkan hal tersebut di media sosial pada hujung Januari 2016. Walau bagaimanapun, mereka mendapati bahawa novel tersebut sudah habis ditempah sebelum mereka menjualnya kepada kedai-kedai buku. Cetakan pertama yang dikeluarkan mencecah 3000 naskah dan telah habis dijual. Novel ini dijual pada harga RM20.00 senaskah. Menurut Pengurus Urusan Lejen Press, Aisamuddin Asri, cetakan semula ini merupakan keperluan untuk karya besar dicetak semula dan generasi muda perlu menjadikan karya besar A.Samad Said sebagai salah satu bahan bacaan mereka agar nama A.Samad Said tidak lekang dek zaman.
Kesimpulannya, A.Samad Said merupakan salah seorang sasterawan yang mempunyai daya pemikiran yang tinggi sehingga mampu menghasilkan karya-karya yang dapat membuka mata pembaca dan memahami liku perjalanan hidup beliau. 





Sensitiviti Pengarang





Dalam laman ini saya tampilkan beberapa sensitiviti dan kreativiti A.Samad Said yang dapat dilihat pada novel Langit Petang.

SENSITIVITI A.SAMAD SAID DALAM MENGHASILKAN NOVEL LANGIT PETANG

“hampir tidak ada yang disembunyikan di sini sehingga jika seseorang rajin dan tekun menelitinya, ia akan sekali lalu dapat menyerapi dunia seseorang sasterawan yang seniman dengan segala rahsia kehidupan dan seninya.” (A.Samad Said, 1979)

Kata-kata A.Samad Said ini menjelaskan bahawa segala kehidupan dan pengalaman dirinya telah dikongsikan kepada pembaca dan bagi mereka yang benar-benar ingin mengenalinya secara mendalam sahaja dapat memahami segala kisah perjalanan hidup beliau. Setiap hasil karya beliau sama ada novel, cerpen, puisi ataupun drama adalah berkisarkan sedikit sebanyak daripada persekitaran yang dilihatnya sejak kecil.
Dalam karya A.Samad Said sememangnya tidak asing daripada bercerita tentang kisah kehidupan wanita, setinggan dan kereta api. Hal ini demikian kerana, sejak kecil lagi A.Samad Said dibesarkan dengan kasih sayang ibunya berbanding bapanya sendiri. Dari situ dia telah melihat jerih perih pengorbanan ibunya dalam membesarkannya. Tambahan pula, setelah berpindah ke Kota Singapura, hidupnya lebih terdedah kepada kawasan setinggan yang didiami oleh golongan pelacur. A.Samad Said mengenali ramai pelacur yang menjadi jirannya dan amat memahami apabila mengetahui bahawa golongan tersebut melacur atas desakan ekonomi dan dipaksa melakukan perbuatan tersebut. Manakala baginya kereta api itu adalah simbolik kepada pertemuan dan perpisahan (Rahimah A. Hamid, 1997).
Apa yang dapat dilihat dalam novel Langit Petang apabila A.Samad Said mewujudkan watak Zakiah yang merupakan bekas ratu cantik akhirnya mengalami penderitaan apabila ditipu oleh golongan lelaki. Zakiah pada mulanya seorang perawan yang ingin dibahagiakan oleh lelaki yang dicintainya. Akan tetapi kepercayaan beliau telah dihancurkan apabila lelaki tersebut mengkhianatinya setelah dia menggadaikan seluruh jiwa dan raganya. Semenjak daripada itu, dia amat mendendami lelaki dan sering membalas dendam terhadap lelaki yang cuba mendekatinya (A.Samad Said, 1980)
Seterusnya, novel Langit Petang terhasil daripada pengalaman perang yang dialami beliau sendiri pada zaman perang. A.Samad Said dapat melihat sendiri kesan peperangan yang telah membawa kepada penderitaan fizikal dan mental manusia. Oleh itu, beliau menghasilkan novel-novel derita ini melalui perasaan benci beliau terhadap peperangan. Di dalam fikirannya tidak sesekali padam tentang penderitaan akibat perang. Hal ini telah ditonjolkan dalam novel Langit Petang apabila beliau mewujudkan watak Ariff yang merupakan bekas guru yang telah banyak berjuang demi mencapai kemerdekaan. Walau bagaimanapun, hasil titik peluh beliau telah dicabul oleh golongan yang menentang dan tidak berjuang untuk memenangi kemerdekaan. A.Samad Said menunjukkan kepada pembaca bahawa pejuang sebenar kemerdekaan masih berbangga walaupun telah diketepikan pengorbanan mereka kerana dapat melihat kehidupan rakyat dan negara telah aman daripada penjajahan. Secara zahirnya kemerdekaan hanya dikecapi oleh mereka yang hanya mementingkan nama. Seperti pendapat Hanafi dalam Langit Petang (A.Samad Said, 1980) “kisah lama, betapa pedih pun, memberikan suatu kemesraan aneh.” (A.Samad Said, 1979)

Sinopsis Novel Langit Petang






SINOPSIS NOVEL LANGIT PETANG
Langit Petang berkisarkan tentang tiga tokoh yang berbeza latar belakang, sikap dan harapan akan tetapi mempunyai satu persoalan hidup yang sama: apakah yang dicari dalam hidup ini.? Novel ini diterbitkan pada tahun 1980 dan mempunyai latar masa sekitar zaman pascamerdeka (A.Samad Said, 1979)
Terdapat tiga kisah atau tema iaitu kisah seorang pejuang kemerdekaan yang telah memberikan seluruh jiwa dan raganya tetapi tidak menerima apa-apa penghargaan. Namun beliau tidak menyesal malah berasa puas apabila melihat tanah air yang diperjuangkan telah mencapai kemerdekaan. Sebaliknya mereka yang tidak berjuang (menentang) kemerdekaan dahulunya kini telah pun mengecapi kebebasan dan untung hasil daripada perjuangan orang lain. Seterusnya kisah seorang wartawan yang menghidapi penyakit “leukemia” tetapi masih setia melaporkan berita tentang orang dan peristiwa. A.Samad Said menimbulkan persoalan pada pembaca apabila tiba-tiba watak wartawan bertanya apa yang harus dilakukan terhadap dirinya kerana seseorang sentiasa terlupa bahawa ada yang lebih penting yang perlu dilakukan untuk memberikan isi kepada hidupnya sendiri. Kisah ketiga tentang seorang wanita yang menjadi pendendam kepada golongan lelaki setelah beberapa kali ditipu dan dinodai oleh janji lelaki. Di sini dapat dilihat pemikiran A.Samad Said untuk melahirkan pertanyaan kepada pembaca bahawa apa sebenarnya yang dicari oleh wanita tersebut? Cinta atau dendam.?
Walau bagaimanapun, A.Samad Said telah mewujudkan perkaitan antara ketiga-tiga latar belakang ini dengan menyelinapkan kisah-kisah antara satu sama lain (A.Samad Said, 1979). Pejuang kemerdekaan tiba-tiba bertemu wartawan dan wartawan tiba-tiba berbaik dengan wanita pendendam. Pejuang tua akhirnya bersedia untuk mengembara bagi menyaksikan sendiri tanah air yang pernah diperjuangkannya, dia berhak untuk menyedut udara kemerdekaan itu dengan bangganya. Bagi wartawan pula, ia menemui kesedaran baru bahawa dia terlalu lama terjerat dalam satu keadaan yang memaksanya menjadi pelapor. Dia perlu mengisi hidupnya dengan nilai yang lebih bermakna lagi.

Namun, hanya wanita pendendam sahaja A.Samad Said membiarkan penyelesaiannya tergantung. Dapatkah wanita pendendam mencari kebahagiaan hidup sekiranya dia secara terus-terusan membalas dendam terhadap lelaki.? Secara keseluruhan tiga kisah ini akhirnya menemukan satu titik pertemuan yang menimbulkan persoalan falsafah terhadap diri pembaca.

Biografi Pengarang





BIOGRAFI PENGARANG: A.SAMAD SAID
Dunia atau khususnya negara Malaysia sememangnya tidak asing lagi dengan nama A.Samad Said. Nama ini pernah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia kerana cukup terkenal sehingga kini. A.Samad Said atau nama sebenar beliau Abdul Samad Bin Muhammad Said merupakan Sasterawan Negara yang keempat. Beliau dilahirkan pada 9 April 1935* di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Pada usia yang begitu mentah iaitu seawal 6 bulan, beliau telah berpindah dan menetap di Kota Singapura. Kini, beliau sedang menetap di Bangsar, Kuala Lumpur. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja, Monk’s Hill School, Singapura. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Victoria Institution dan Betty Secondary School (Awang Abdullah, 2001).
Sejak menceburkan diri dalam dunia penulisan pada tahun1953, A.Samad Said mencuba segala genre kesusasteraan seperti puisi, cerpen, drama, esei  dan novel (dewasa dan kanak-kanak). Karya-karyanya terkumpul dalam Liar di Api (cerpen dan sajak), Daun-daun Berguguran (cerpen dan sajak, bersama Salmi Manja), Debar Pertama (cerpen), Di Mana Bulan Selalu Retak (drama), Ke Mana Terbangnya si Burung Senja (cerpen dan drama TV), dua kumpulan sajak: Benih Harapan dan Daun Semalu Pucuk Paku, Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden (esei, bersama Usman Awang) dan Warkah Kepada Salmi Manja (surat-surat). Novel-novelnya pula Salina, Sungai Mengalir Lesu, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Di Hadapan Pulau dan Langit Petang. Dalam menghasilkan pelbagai genre kesusasteraan, A.Samad Said sering menggunakan nama pena Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jami Kelana dan nama A.Samad Said.
Walau bagaimanapun, A.Samad Said pernah menjadi kerani di Hospital Besar Singapura sebelum bertugas di beberapa akhbar seperti Fikiran Rakyat, Utusan Melayu dan Berita Harian. Setelah melibatkan diri dalam bidang kesusasteraan, beliau telah berjaya meraih pelbagai anugerah hasil daripada pejuangannya dalam meningkatkan mutu kesusasteraan di mata dunia. Pada tahun 1976, A.Samad Said telah menerima Anugerah Pejuang Sastera sebelum menerima anugerah Panel Anugerah Sastera pada tahun berikutnya. Pada tahun yang sama iaitu 1979, beliau telah mendapat anugerah Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Awards) sebagai penghargaan terhadap hasil penulisan beliau yang amat baik.
Seterusnya pada tahun 1985, beliau telah mendapat anugerah setimpal dengan kelayakan dan hasil usaha beliau untuk menghasilkan pelbagai genre kesusasteraan yang dapat diterima umum sehingga dinobatkan sebagai Sasterawan Negara keempat pada tahun 1985. Kegemilangan beliau tidak berakhir pada tahun 80-an sahaja, malah lebih diberi penghormatan oleh dunia apabila beliau berjaya menerima Anugerah ASEAN pada tahun 1993 dalam kategori sastera. Sehubungan itu, penglibatan dan sumbangan beliau kepada bidang kesusasteraan Melayu secara berterusan di Malaysia telah diberi penghormatan daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka apabila diberi gelaran "Datuk."